Sunday, October 7, 2012

"Cinta"


"Setelah kau sapu air mata aku, setelah kau genggam tangan aku, setelah kau peluk aku, tanpa sedar, aku berdoa pada Tuhan, lindungi kau sebagaimana kau lindungi aku.
Setelah kau penat menangisi malam, setelah kau lelah menghindari siang, setelah kau habis kata-kata, tanpa sedar, aku berdoa pada Tuhan, sayangi kau sebagaimana kau sayang aku.
"Setelah kau habis mengesat air mata gembiramu, setelah kau sudah kehilangan nafas kerana masih ketawa riang, setelah kau tersenyum melihat dunia, tanpa sedar, aku berdoa pada Tuhan, kuatkan kau sebagaimana kau jadi tiang kekuatan aku.
Setelah kau rasa kecewa dengan apa yang dunia lempar untuk kau, setelah kau putus harapan untuk teruskan nyawa kau, setelah kau rasa tiada apa lagi yang tinggal untuk kau, tanpa sedar, aku berdoa pada Tuhan, cambahkan benih harapan untuk kau seperti kau yang tak pernah lupa tiupkan harapan untuk aku.
Dalam diam, dan tanpa sedar, aku titipkan sekalung doa untuk kau, sahabat. Supaya kau tak putus asa, supaya kau kuat, supaya kau berdiri teguh, supaya harapan kau tak hilang, supaya sayang kita tak kurang, supaya kita masih ada peluang untuk melihat masing-masing tersenyum riang.
Sepuluh tahun akan datang, biarlah dunia ingin campak aku ke Mesir dan kau ke hujung dunia sekalipun, biarlah dugaan ingin menjentik kita sekalipun, doa aku sentiasa untuk kau, sebab kau adalah antara insan yang akan tetap berada dalam senarai doa aku.
Jangan risau, aku tahu, 30 tahun akan datang, insyaallah, kita akan sama-sama kayuh basikal, berjalan di tepi pantai seiringan, bercerita tentang masa hadapan yang takkan ada hujungnya.
Sebelas tahun kau tak pernah tinggal aku. Sebelas tahun kau tak pernah lupa aku. Sebelas tahun kau tak pernah sekalipun tak wujud. Kau layak dirangkul bahagia.
Kerna aku tahu, kau sebaik-baik sahabat."
http://duniapincang.wordpress.com/

No comments: